SBC kenduri gol, Sg. Putat kekal tanpa kalah

SBC FC mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menewaskan Danke FC, 7-0 dalam aksi di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang semalam. Foto: Naning Media
 SBC FC kembali ke tangga teratas Liga Super Komuniti A3 Melaka apabila membaham Danke FC, 7-0 di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, semalam.

Skuad bimbingan Muhd. Harzarul Afiq itu bermula garang menerusi beberapa percubaan berbahaya dan menguasai perlawanan sebelum membuka tirai pada mini ke-11 menerusi jaringan Muhammad Zulkarnain Solong.


Selang enam minit kemudian, gawang Danke bocor lagi dan kali ini menerusi penyudah Mohd. Sollehi Ahmad Zuhaimi sebelum Muhammad Ariff Zaini menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-28.

Muhammad Zulkarnain menambah derita lawan apabila menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-37.

Muhammad Arshad Mohd. Rashid mencuri tumpuan apabila merakam jaringan hatrik dalam tempoh 13 minit terakhir pada minit ke-67, 73' dan 80' bagi meneruskan kempen debut cemerlang SBC dalam Liga Super Komuniti A3 Melaka.


Sementara itu, Sg. Putat FC terus mengekori rapat SBC di tangga teratas liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Scofa dalam perlawanan yang berlangsung di sebelah petang.


Najmi Rosli muncul wira Sg. Putat apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-59 bagi memastikan kelab itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

SBC kini unggul di tangga teratas dengan sembilan mata, dieekori rapat Serkam United FC dan Sg. Putat, masing-masing dengan tujuh mata.

Dalam pada itu, Settlers FC dan Dynamo FC berada di dua tangga tercorot liga selepas gagal mengutip sebarang mata selepas masing-masing beraksi dua dan tiga perlawanan.