SBC pesta gol belasah Dynamo 10-1, Serkam United, Desa Baru sama hebat

SBC FC membuka saingan Melaka A3 Super League Series 1 dengan cemerlang apabila membelasah Dynamo FC, 10-1, di Padang UiTM Lendu, Alor Gajah, petang tadi. - Foto: Naning Media
 SBC FC memberi amaran awal kepada pencabar terdekat apabila membuka saingan Melaka A3 Super League Series 1 dengan kemenangan besar selepas membelasah Dynamo FC, 10-1 di Padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang tadi.

Mohd. Fauzan Noryahya menjadi watak penting buat SBC apabila mencetak hatrik dalam tempoh 31 minit menerusi jaringan seawal minit ketujuh, 20' dan 31'.

SBC berjaya meledak enam gol pada separuh masa pertama dengan tiga lagi gol dijaringkan Nurul Naim Mohd. Yusof pada minit ke-37 dan 45' sementara satu lagi gol disumbangkan Amierul Ismail (9'). 


Babak kedua menyaksikan SBC menambah empat lagi gol, masing-masing dijaringkan Tengku Hanafi Tengku Ismail pada minit ke-56, Ibrahim Muhamat (57'), Mohd. Sollehi Ahmad Zuhaimi (58') dan Muhammad Nurul Hanafi Razali (89').

Terdahulu, dalam aksi lebih awal menyaksikan Desa Baru FC yang beraksi dengan 10 pemain untuk sepanjang lebih 50 minit permainan berjaya mengikat Serkam United FC, 2-2.


Desa Baru terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi sentuhan penyudah Elegeswaran.

Bagaimanapun, Desa Baru kehilangan seorang pemain apabila Muhammad Hazif dibuang padang pada minti ke-39 selepas dilayangkan kad merah kerana menafikan peluang wajib gol Serkam FC.

Kelebihan tersebut dimanfaatkan Serkam United apabila meledak gol penyamaan pada waktu kecederaan menerusi jaringan Ahmad Fahmy Yahya.


Serkam United tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada babak kedua apabila penyerang, Muhammad Shamerul Abd. Aziz menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, semangat juang yang tinggi ditunjukkan 10 pemain Desa Baru apabila berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-73 menerusi jaringan Muhammad Farhan sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.

Satu lagi aksi Melaka A3 Super League Series 1 bakal berlangsung esok membabitkan pertembungan antara Sg. Putat FC dan Melaka Cops FC di Padang UiTM Lendu, pada pukul 5.30 petang.