Sepak mula Liga Melaka 2024 pada 15 Jun

Antara aksi final Divisyen Satu Liga Melaka edisi terdahulu membabitkan Tampoi FC dan MBMB Warriors di Stadium Hang Tuah. Foto: MAFA. Gambar kecil: Khairi Anuar Ahmad
 
SAINGAN Liga Melaka 2024 bakal membuka tirainya bermula 15 Jun ini yang melibatkan kelab-kelab gabungan di bawah Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Naib Presiden MAFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan dan Kepengadilan MAFA, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, liga tersebut terbahagi kepada tiga divisyen di mana Divisyen Satu adalah dalam kategori Liga A3 Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Jelas beliau, dijangkakan 10 pasukan bakal berentap dalam Divisyen Satu secara satu pusingan iaitu MBMB Warriors, Duyong Fighters, Bertam Ulu, UTEM Tuah FC, Perma FC, Andalas FC, Persibu, Hulubalang FC,Teman FC dan Jebat FC.

Khairi Anuar (tiga dari kanan) dan delegasi MAFA mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd. Raimi Fakri Mohd. Fuad (dua dari kiri) untuk mendapatkan kebenaran bagi penganjuran Liga Melaka 2024. Foto: MAFA 
"Sebanyak lapan pasukan musim lalu kekal beraksi dalam Divisyen Satu dengan penyertaan juara dan naib juara Divisyen Dua iaitu Bertam Ulu dan Duyong Fighters bakal memberikan saingan dalam Liga Divisyen Satu pada kali ini.

"Divisyen Dua pula menyaksikan pertarungan sebanyak 12 pasukan yang akan dipecahkan kepada dua kumpulan. Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir dengan juara dan naib juara layak dinaikkan ke Divisyen Satu” katanya kepada Melaka United Media hari ini.

Tampoi FC merupakan juara bertahan Liga Melaka namun tidak mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Foto: MAFA
Edisi terdahulu menyaksikan Tampoi FC muncul juara Liga Melaka Divisyen Satu selepas menewaskan MBMB FC, 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hang Tuah.

Bertam Ulu pula dinobatkan juara Divisyen Dua selepas menewaskan Duyong Fighters, 3-2 sementara Rizq FC muncul juara Divisyen Tiga apabila menundukkan Bachanglona, 3-1. 

Khairi Anuar berkata, perlawanan pembukaan Liga Melaka 2024 bakal menyaksikan pertembungan merebut trofi Piala Sumbangsih antara MBMB FC yang merupakan naib juara Divisyen Satu menentang juara Divisyen Dua, Bertam Ulu.

Bertam Ulu akan berentap dengan MBMB Warriors bagi merebut Piala Sumbangsih pada 15 Jun ini. Foto: MAFA
Sementara itu, beliau berkata, MAFA mensasarkan sebanyak 32 penyertaan pasukan bagi saingan Divisyen Tiga yang mana tempoh pendaftaran masa dibuka sehingga 3 Jun ini.

"Taklimat pertandingan akan diadakan pada 8 Jun ini dengan sepak mula Liga Melaka 2024 dijadualkan pada 15 Jun.

"Kita (pasukan Melaka) tiada dalam Liga Super, harapan kami agar Liga Melaka dapat menjadikan kelab gabungan (MAFA) aktif dan dapat bersama-sama meraikan dan memeriahkan liga kita," katanya.