Serkam United belasah Dynamo 11-0, Melaka Cops raih kemenangan sulung

Pemain Serkam United meraikan jaringan dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka yang menyaksikan mereka menang besar 11-0 ke atas Dynamo FC, petang tadi. Foto: Naning Media
 DYNAMO FC terus dirundung malang apabila tewas kali ketiga berturut-turut dan kali ini dibelasah 11-0 oleh Serkam United dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang tadi.

Turun dengan rekod bolos 15 gol dalam dua perlawanan pertama, Dynamo ketinggalan dua gol dalam tempoh 10 minit pertama hasil jaringan Azrul Syahfahmie Abu Bakar pada minit kelapan dan kesembilan.

Belum sempat Dynamo memperkemaskan barisan pertahanan, gawang mereka bolos lagi dan kali ini menerusi penyudah Muhd. Nazrin Shah Zulkafli sebelum Muhd. Aidilnizam Samad meledak dua kali bagi memastikan Serkam United 5-0 di depan menuju ke bilik persalinan.

Permainan bergaya dipamerkan Serkam United di babak kedua apabila memperoleh enam lagi gol, bermula dengan jaringan sendiri, Muhd. Nabil Zulkefli, dua minit selepas permainan bersambung.

Azrul Syahfahmie melengkapkan hatrik pada perlawanan itu menerusi jaringan pada minit ke-49 sebelum rakan sepasukan menambah empat lagi gol bagi memberikan pasukan itu kemenangan besar 11-0.

Keempat-empat gol tersebut dihasilkan oleh Nurhidayat Abdul Ghani pada minit ke-58, Nurhadisham Mehat (60) dan Muhd. Shafiaizat Sapari (66' dam 75').

Sementara itu, dalam satu lagi aksi di sebelah petang pula menyaksikan Melaka Cops meraih kemenangan sulung musim ini apabila mengenepikan cabaran Settlers FC, 2-0.

Melaka Cops menjaringkan gol dalam setiap babak bagi memastikan pasukan itu membawa pulang tiga mata penuh.

Gol-gol Melaka Cops dijaringkan oleh Mohd Nazrin Md. Nasir pada minit ke-32 dan Arif Fadilah Mohamad (64').