Settlers mangsa terbaharu SBC, Danke raih tiga mata


 KELAB berpangkalan di Muar, SBC FC meneruskan dominasi dalam Liga Super Komuniti A3 Melaka apabila menjadikan Settlers FC mangsa terbaharu apabila membelasah lawan, 7-0, dalam aksi di Padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang tadi.

SBC tidak memberi peluang kepada Settlers yang turun buat kali pertama dalam saingan liga untuk menyesuaikan diri apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi jaringan Mohd. Akmal Nor Jam Afandi.

Penyerang, Ahaddi Satar menggandakan jaringan buat SBC pada minit ke-22 sekali gus menjadikan kedudukan 2-0 menuju ke bilik persalinan.


Pasukan bertapak dari Kota Tinggi, Settlers terus gagal memberikan saingan apabila gawang mereka bocor sebanyak lima kali pada babak kedua.

Bermula dengan jaringan ketiga oleh Muhammad Syafiq Abd. Samad pada minit ke-41, SBC menambah empat lagi gol masing-masing hasil sentuhan Mohd Sollehi Ahmad Zuhaimi (60'), Muhammad Muhaimin Osman (62'), Nurul Naim Mohd. Yusof (69') dan Muhammad Syafiq (73').


Sementara itu, dalam aksi lebih awal di padang sama, Danke FC merekodkan kemenangan pertama musim ini apabila menundukkan Dynamo FC, 4-1, petang tadi.

Daxter Ronald Fredericks membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum Muhammad Shafie Shukor meledak gol kedua pada minit ke-30.


Dynamo yang tewas besar 10-1 kepada SBC minggu lalu kembali merapatkan jurang menerusi jaringan Aiman Hafizi Mohd. Baharuddin pada minit akhir babak pertama.

Bagaimanapun, Danke enggan memberi ruang kebangkitan buat Dynamo apabila meledak dua lagi gol dalam tempoh lima minit hasil jaringan Mohamad Norshariq Mohamad Hafiz pada minit ke-50 dan R. C. Puvan (54').