Elaun skuad Piala Presiden, Belia Melaka tertunggak?

Elaun pemain skuad Piala Presiden dan Belia Melaka didakwa tertunggak selama dua bulan. Foto: Hiasan/MAFA

 KETIKA harapan penuh disandarkan penyokong Melaka kepada skuad Piala Presiden dan Piala Belia untuk membawa negeri ini di peringkat kebangsaan, muncul khabar kurang menyenangkan membabitkan kebajikan pemain-pemain kedua-dua pasukan berkenaan.

Ini selepas elaun pemain-pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan berkenaan didakwa telah tertunggak selama dua bulan sejak Mei lalu.

Menurut sumber, kesemua pemain dan staf kejurulatihan Melaka didakwa masih belum menerima sebarang bayaran elaun untuk Mei dan Jun daripada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Skuad Piala Presiden Melaka ketika ini berada di tangga keenam Kumpulan A selepas dua kemenangan, dua seri dan tewas lima kali musim ini sementara Piala Belia menyaksikan Melaka di kedudukan kedua tercorot dalam kumpulan.

Untuk rekod, MAFA mengambil keputusan untuk tidak menghantar pasukan utama menyertai sebarang liga musim ini namun beralih kepada pembangunan akar umbi membabitkan skuad Piala Presiden, Piala Belia, futsal lelaki, Piala Puteri dan Liga Wanita Kebangsaan.

Merujuk kepada blueprint MAFA 2024, persatuan itu meletakkan bajet sebanyak RM2.79 juta bagi program pembangunan akar umbi .

Skuad Piala Presiden diperuntukkan sebanyak RM880,050 sementara bagi skuad Piala Belia pula adalah sebanyak RM671,300 bagi mengharungi kempen musim ini.

Untuk itu, pihak MAFA diharap dapat menyelesaikan isu tunggakan elaun pemain dan gaji staf kejurulatihan demi menjaga kebajikan mereka sekali gus dapat meningkatkan semula moral pemain.