Liga A1: Melaka FC mula kempen dengan rentak kemenangan

Kesebelasan utama Melaka ketika aksi menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Mini USIM, Nilai, petang tadi. Foto: AFL

 MELAKA FC memulakan kempen MBSB Bank Championship Liga A1 Semi-Pro dengan langkah kanan apabila menewaskan PIB Shah Alam FC, 4-1 di Stadium Mini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, petang tadi.

Melaka mula mengasak sebaik sahaja wisel perlawanan ditiupkan dan hampir di depan seawal minit kelima apabila penyerang, Abdul Azim Rahim berjaya melepasi perangkap offsaid namun percubaannya ditepis keluar penjaga gol, Muhamad Nor Amin Mat Gani.

Skuad bimbingan K. Devan akhirnya berjaya di depan dua minit berselang selepas percubaan dari jarak jauh oleh kapten, Mohamad Nasir Basharudin terus menerjah gawang tuan rumah.

Pelawat terus garang mencari gol kedua namun tandukan penyerang import, Fuseini Issah di depan gawang terbuka, sekadar singgah di palang sementara percubaan Nasir turut terkena palang gol.

PIB Shah Alam bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas rembatan pemain pertahanan, Muhammad Syukri Azman terbias pemain Melaka sebelum menerjah gawang T. Shaheeeswaran.

Issah kembali meletakkan Melaka di depan pada minit ke-38 selepas menanduk masuk sepakan percuma dari sayap kanan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Azim terlepas peluang menambah gol ketiga Melaka pada minit ke-67 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid namun sepakannya sedikit tersasar.

Melaka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-80 selepas Issah dijatuhkan didalam kawasan penalti.

Azim yang merupakan penjaring terbanyak Liga M3 musim lalu tidak berdepan masalah menewaskan Mohamad Nor Amin untuk meletakkan pelawat dua gol di depan.

Pemain gantian, Muhammad Nizaruddin Jadi melengkapkan kemenangan bergaya Melaka apabila bijak melolos masuk ke kawasan penalti melepasi empat pemain PIB Shah Alam sebelum melepaskan rembatan untuk gol keempat pelawat.

Melaka bakal melayan kunjungan Gombak FC pada 8 Jun ini bagi aksi kedua Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat.