Liga Super A3: Desa Baru, Serkam United berpesta gol

Pemain Serkam United, Muhamad Shamerul Abd. Aziz (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Danke FC dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka, di padang UiTM Lendu, petang tadi. Foto: Naning Media

 DESA Baru FC dan Serkam United mencatat kemenangan besar apabila berpesta gol menewaskan lawan masing-masing dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka, petang tadi.

Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan sulung Desa Baru yang menewaskan Settlers FC, 8-0 untuk meraih tiga mata pertama musim ini selepas hanya merekodkan keputusan seri dalam dua perlawanan awal.

Muhammad Nursyazmer mencuri tumpuan dengan mencipta jaringan hatrik apabila melakukannya pada minit ke-34, 48 dan 55.

Terdahulu, Ahmed Faries meletakkan Desa Baru di depan seawal minit ke-11 sebelum rakan sepasukan, Amirul Syakirin dan Nursyazmer masing-masing menambah gol kedua dan ketiga pada minit ke-31 dan 34.

Desa Baru terus selesa mendahului 4-0 apabila Muhammad Fikri meledak gol pada minit ke-39 dan kemudiannya mencetak gol kedua peribadi, dua minit selepas babak kedua bersambung.

Norsyazmer meledak gol keenam pasukan pada minit ke-48 sebelum Muhammad Fazwan menambah duka kelab dari Kota Tinggi itu menerusi jaringan pada minit ke-53.

Settlers terus parah apabila Norsyazmer melengkapkan hari cemerlang Desa Baru FC menerusi jaringan hatrik sekali gus memberikan tiga mata berharga buat pasukan itu. 

Sementara itu, dalam satu lagi aksi menyaksikan Serkam United memintas Sg. Putat FC di tangga kedua selepas membelasah Danke FC, 7-0 dalam aksi di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang tadi.


Mohammad Norisam Abd. Jalil dan Muhammad Ijaz Ahmad Nurbi masing-masing meledak dua gol sementara tiga lagi jaringan disumbangkan Muhamad Shamerul Abd. Aziz, Ag. Ku Mohd. Hamirullizam dan Azrul Syaifahmie Abu Bakar.


Kemenangan itu menyaksikan Serkam United dan Sg. Putat berada di tempat kedua dan ketiga selepas mengutip 10 mata namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.


SBC kekal berada di tangga teratas selepas merekodkan kemenangan 100 peratus apabila menang kesemua empat perlawanan, mencetak 30 gol dan hanya dibolosi dua kali.