Melaka FC, Gombak FC buntu di Hang Jebat

Pemain Melaka FC cuba menghalang gerakan penyerang Gombak FC, Partrick Yudi Gonsalves Majeski dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi. Foto: Melaka FC
 MELAKA FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Gombak FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Skuad bimbingan K. Devan itu harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan deretan peluang yang dicipta sepanjang perlawanan untuk diterjemahkan kepada jaringan.

Sebaliknya, pelawat yang baharu sahaja dipromosi ke Liga A1 Semi-Pro musim ini mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi apabila berjaya menyerap setiap asakan tuan rumah.

Melaka FC bermula garang apabila Abdul Azim Rahim berjaya melepasi perangkap ofsaid namun rembatan penyerang itu berjaya dihalang pertahanan Gombak FC.

Pemain pertahanan, Khairul Anwar Saharudin terlepas peluang meletakkan Melaka FC di depan pada minit ke-31 selepas rembatannya dari dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Aqil Fadhly Mohd. Yusop.

Enam minit berselang menyaksikan giliran Gombak FC mencipta peluang namun percubaan Muhammad Rusydan Wahid Anuar sekadar tinggi melepasi palang.

Kapten Melaka FC, Nasir Basharudin (kanan) berkata sesuatu kepada pengadil perlawanan dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat, malam tadi. Foto: Melaka FC
Melaka FC memperoleh peluang keemasan pada minit ke-40 apabila rembatan dari jarak dekat Nizaruddin Jazi dihalang di atas garisan gol perahanan pelawat ketika penjaga gol telah pun tertewas.

Skuad bimbingan Shahrom Kalam itu menarik nafas lega apabila Ahmad Syukri Ab. Hamid terlepas daripada layangan kad merah kerana menjatuhkan penyerang Melaka FC, Fusseni Issah yang berada di kedudukan berpeluang menjaringkan gol.

Babak kedua menyaksikan Melaka FC terus menguasai perlawanan dan hampir memperoleh gol pembukaan pada minit ke-62 namun sepakan percuma Nasir Basharudin sedikit tersasar.

Devan melakukan beberapa pertukaran dengan membawa masuk Luqmanul Hakeem Norizam dan Fahmi Faizal bagi mengantikan Nizaruddin dan Michael Ozor.

Percaturan itu hampir berhasil pada minit ke-80 apabila lorongan Zulkifli membuka ruang kepada Nasir untuk melepaskan rembatan namun percubaan kapten Melaka FC itu tepat ke dakapan Aqil Fadhly.

Keadaan sedikit tegang pada 10 minit terakhir yang memaksa pengadil melayangkan kad kuning kepada Abdul Azim dan Mohd. Haziq Puad serta pertahanan Gombak FC, Vinicius Amaral. 

Zulhairi Zulkifli hampir memecah kebuntuan pada waktu kecederaan apabila menanduk masuk sepakan penjuru namun tandukkannya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.