Melaka tuan rumah Piala Emas Raja Raja Edisi ke-102

Mohd. Firdaus Mohamed (tiga dari kanan) dan Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (dua dari kiri) mempamerkan trofi Piala Emas Raja Raja dalam sidang media di Ayer Keroh, semalam. Foto: Ridhwan Ali
 MELAKA buat julung kalinya dipilih sebagai penganjur kejohanan Piala Emas Raja Raja (PERR) bagi edisi ke-102 yang akan diadakan pada 17 hingga 26 Oktober depan.

Sebanyak 16 pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) selain daripada pasukan negeri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, Melaka dipilih sebagai tuan rumah bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

"Sebanyak empat lokasi dipilih bagi menganjurkan perlawanan termasuk Stadium Hang Tuah, Stadium Tun Fatimah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Stadium Mini Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

"Dari segi prestij kejohanan ini masih mendapat sambutan, pada saya masih relevan. Itu sebab kita boleh bertahan sehingga ke edisi ke-102 tahun," katanya dalam sidang media di Ayer Keroh, semalam.

Juara kejohanan PERR edisi ke-102 ini bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 sementara naib johan pula bakal menerima sebanyak RM30,000.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd, Ali.

Dalam pada itu, Mohd. Ridhwan berkata, persatuan itu akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berprestij itu.

"Sedikit kelainan yang ingin kita bawa dan kita cadangkan untuk pertandingan kali ini adalah pertandingan ini adalah berbentuk karnival dianjurkan dalam tempoh 12 hari. Kesemua pasukan ini akan berkampung di Melaka," katanya.