SBC, Sg. Putat sahkan slot ke separuh akhir

Muhammad Nurul Hanafi Razali meraikan jaringan ketiga SBC ketika menundukkan Desa Baru FC, 3-2 dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka, di padang UiTM Lendu, petang tadi. Foto: Naning Media

 SBC FC dan Sg. Putat FC mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Liga Super Komuniti A3 Melaka selepas masing-masing mengutip tiga mata penuh petang tadi, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kolompok teratas liga.

Kedua-dua kelab tersebut juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan selepas masing-masing merekodkan lima kemenangan dan satu seri untuk mengutup 16 mata, SBC di tangga teratas dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Sg. Putat FC (jersi merah) dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 menentang Serkam United di padang UiTM Lendu, Alor Gajah, petang tadi. Foto: Naning Media

Dalam aksi yang berlangsung di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, petang tadi menyaksikan Serkam United memberikan tentangan kepada Sg. Putat.

Namun, kelekaan pada lewat permainan menyaksikan gawang mereka bocor hasil jaringan S. Jeevan Nair yang akhirnya menghadirkan tiga mata penuh untuk Sg. Putat.

Sementara itu, SBC yang turun beraksi pada lewat petang pula, turut menerima cabaran sengit daripada Desa Baru FC sebelum menctata kemenangan tipis 3-2.

Desa Baru yang berada di tangga keempat liga terlebih dahulu mengejutkan wakil Johor itu menerusi jaringan Ammar Rahim seawal minit kelima namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila SBC bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi Zamree Mohd. Jani.

SBC FC menerima tentang daripada Desa Baru sebelum menang 3-2 dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka di padang UiTM Lendu, Alor Gajah, petang tadi. Foto: Naning Media

SBC terus menggandakan serangan selepas itu dan berjaya memperolehi dua lagi gol sebelum rehat, masing-masing dijaringkan Mohd. Sollehi Ahmad Zuhaimi pada minit ke-31 dan Muhammad Nurul Hanafi Razali (40').

Desa cuba bangkit di babak kedua apabila berjaya merapatkan jurang sembilan minit selepas perlawanan bersambung hasil jaringan Muhammad Nur Alif namun SBC berjaya mempertahankan kelebihan untuk kembali ke tangga teratas liga.

Dua lagi perlawanan akan berlangsung esok membabitkan pertemuan Settlers FC dan Dynamo FC sementara Melaka Cops pula akan bertemu Scofa.