Tewaskan Manjung City, Melaka FC lonjak ke puncak liga

Pemain-pemain Melaka meraikan jaringan ketika aksi Liga A1 Semi-Pro menentang Manjung City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. Foto: Melaka FC

 MELAKA FC mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melonjak ke puncak Liga A1 Semi-Pro susulan kejayaan menundukkan Manjung City FC, 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Bertandang ke gelanggang lawan dengan tekad mengutip tiga lagi mata selepas melakukannya ke atas Bukit Tambun FC, minggu lalu, Melaka FC yang dibimbing K. Devan tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan.

Penjaring terbanyak Liga M3 musim lalu, Abdul Azim Rahim meledak gol sulung pelawat seawal minit kesembilan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Firdaus Suhaimi.

Penyerang import muda dari Ghana, Fusseni Issah menggandakan jaringan buat Melaka FC pada minit ke-35 sekali gus memberikan kelebihan dua gol buat anak buah Devan ketika menuju ke bilik persalinan.

Pemain pertahanan Melaka FC, Khairul Anwar Shahrudin (kanan) cuba disekat pemain Manjung City dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. Foto: Melaka FC

Tuan rumah cuba mengasak mencari gol di babak kedua namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Melaka FC yang diterajui Mohd. Haziq Puad.

Kemenangan ini menyaksikan Melaka FC mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri untuk berada di tangga teratas liga dengan 10 mata.

Bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah selepas beberapa tiga perlawanan lagi berlangsung hari ini terutama pertemuan membabitkan Bunga Raya Damansara FC dan juara bertahan, Imigresen FC yang mana masing-masing hanya ketinggalan satu mata di belakang Melaka FC.